RAKAN MUDA MASYARAKAT ( PROGRAM IMAM MUDA ) - ZIARAH KUBUR

|

ADAB ZIARAH KUBUR

Islam adalah agama yang sempurna yang mengajarkan umat-Nya hidup saling bersaudara, bantu-membantu dan hormat-menghormati sesama manusia, tidak kira sama ada seseorang itu masih hidup atau telah meninggal dunia. Dalam konteks ini, Islam telah menganjurkan dan mengajarkan cara untuk menghormati mereka yang telah meninggal dunia, iaitu dengan melakukan ziarah ke tanah perkuburan.

Kubur yang dibina sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran
Ketika ziarah kubur di Masjid Al Ridzuan,Alor Pongsu ( antara yang terbaik di Negeri Perak )


Amalan menziarahi kubur adalah amalan yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan amalan tersebut semakin bertambah dalam bulan Ramadan dan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Ziarah ke tanah perkuburan ini, pada hakikatnya tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal sahaja, akan tetapi kita digalakkan berziarah ke tanah perkuburan pada bila-bila masa. Sabda Rasulullah : Pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzihadkan kehidupan di dunia dan mengingatkan akhirat.''

Amalan ziarah kubur ini mempunyai tujuan dan hikmatnya tersendiri, antaranya ialah supaya dikasihi oleh Allah SWT sebab mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. di samping itu, berziarah ini juga akan menerbitkan perasaan insaf dan taubat di dalam hati tentang menghadapi hari kematian, alam kubur dan alam akhirat, iaitu dengan muhasabah diri, adakah amalan kita sudah mencukupi untuk dijadikan bekal di dalam alam barzakh dan alam akhirat.
Selain itu, berziarah kubur juga jika difahami dan dihayati tujuannya, akan mengingatkan kepada kita asal usul kejadian kita yang berasal dari tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan. Dengan penghayatan sedemikian, insya-Allah akan menggamit rasa hati dan kesedihan serta dapat melembutkan kekerasan hati, yang akan melahirkan kesedaran untuk melakukan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Ziarah kubur juga bertujuan berlaku ihsan terhadap penghuni kubur, lebih-lebih lagi kepada roh kedua ibu bapa kita dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, memohon doa agar dilimpahi dengan rahmat, pengampunan dan keafiatan dari Allah SWT.
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, bahawasanya Rasulullah s.a.w. Apabila mati seseorang anak Adam, akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang salih yang mendoakan baginya.''
Perlu juga diketahui, bahawa agama Islam telah menggariskan panduan dan adab-adab ziarah kubur yang patut diikuti.
Pertama: Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwuduk dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dan berniat ikhlas selaras dengan tujuan dan hikmah ziarah tersebut.
Kedua: Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dan afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang kita ziarahi.
" Assalamualaikum, mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kubur orang-orang Mukminin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami insya-Allah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah keafiatan untuk kami dan bagi kamu juga.''
Ketiga: Tidak berbual dengan percakapan kosong, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Imam An-Nisa'i maksudnya:
"Dari Abdullah bin Buraidah dari bapa-Nya, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah dan janganlah kamu bercakap-cakap perkara yang batal."
Keempat: Disunatkan memberi sedekah kerana amalan bersedekah adalah antara Sunnah Rasulullah s.a.w dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai kepada penghuni kubur tersebut. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim yang maksudnya:
"Dari A'isyah Radiallahuanha katanya: Seseorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w : Ya Rasulallah! Ibuku meninggal dengan secara tiba-tiba dan dia tidak sempat berwasiat. Menurut dugaanku, seandainya dia sempat berbicara, mungkin dia akan bersedekah. Dapatkah dia pahalanya jika aku bersedekah atas namanya? Jawab Rasulullah s.a.w : Ya.''
Kelima: Haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan sebagainya.
Marilah kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, apatah lagi yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah SWT
Di samping itu juga kita berharap penghuni kubur pula akan mendapat rahmat dari Allah SWT dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari seksa kubur dan azab api Neraka.










0 comments:

 

©2009 SURAU ANNUR SMK ALOR PONGSU | Template Blue by TNB