KETUPAT DAN HARI RAYA

|



Ketupat dan Hari Raya tak boleh dipisahkan. Raya yang disambut tak akan bererti tanpanya. Anak muda yang beraya di perantauan biasanya menangis di hari lebaran. Bila ditanya kenapa , jawapannya teringatkan ketupat mak... ! Betul ke ? atau teringatkan tunang ...Apa apa pun nak habaq mai ketupat kena ada di hari raya. Kalau tak dak kat rumah kita pergilah rumah opah, 95 % In Sya Allah ada.
Mengenai cara menyediakannya, lain tempat lain juga adat dan caranya. Jika ditanya pada orang Pantai Timur, ketupat yang kurang menjadi itu digelar 'ketupat jantan' kerana dilakukan oleh amatur dan kurang sempurna hasilnya manakala 'ketupat betina' pula cantik dan kemas pembuatannya oleh yang pakar.
Bagaimanapun di kalangan masyarakat Utara, ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi atau pulut di hujung lilitan daun palas itu, manakala ikatan dan balutannya kemas.
Sementara ketupat palas betina pula bersaiz lebih kecil, kurang isi dan ikatan serta balutan tidak kemas.
Pun begitu, teknik pembuatan ketupat nasi atau pulut yang betul disifatkan sebagai sesuatu yang objektif atau mengikut kaedah yang diamalkan sejak turun temurun mengikut latar belakang setiap orang.
Seorang suri rumah yang sememangnya pakar membuat ketupat nasi, berkata, untuk memudahkan kerja memasukkan beras ke dalam kelongsong ketupat, beras tidak perlulah direndam sebaliknya memadai jika dibasuh seperti biasa kerana beras akan berderai selepas ditoskan.
Jika beras jenis mudah kembang, katanya, tidak perlu diisi sehingga padat separuh kelongsong ketupat manakala beras jenis biasa pula boleh diisi sehingga satu pertiga atau separuh mengikut saiz ketupat itu.
Jelasnya, jika dahulu orang merebus ketupat sehingga empat atau lima jam kini sebaik-baiknya dipendekkan masa sehingga dua setengah atau tiga jam agar daun ketupat tidak kecut, kering dan lebam.
''Jika terlampau lama, daun akan menjadi kering jadi eloklah ketupat diangkat selepas tiga jam apabila beras sudah kembang dan elok,'' katanya.
Ketupat nasi dan pulut dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Yang popular tentunya rendang dan kuah kacang tetapi ada juga berpendapat bahawa kuah kacang adalah kuah sate yang manis, cair dan kurang pedas manakala sambal kacang lebih pekat, pedas dan dimasak dengan serai untuk hidangan pada Hari Raya.
Masyarakat di utara ketupat daun palas paling enak di makan dengan rendang, serunding daging, ikan atau ayam.
Bagaimanapun, tradisi penyediaan lauk-pauk sebagai hidangan sampingan ketupat nasi dan pulut juga telah lama dipermudahkan memandangkan semakin ramai orang tidak berkesempatan meluangkan masa dua hari suntuk di dapur menjelang Aidilfitri.
Rujukan : Utusan Malaysia Online

0 comments:

 

©2009 SURAU ANNUR SMK ALOR PONGSU | Template Blue by TNB