Hari ini Isnin 22hb Ogos 2011, satu perhimpunan khas telah diadakan sempena pelancaran bulan kemerdekaan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zawawi Abdullah. Seterusnya ceramah kemerdekaan oleh Tn Haji Hasanuddin Husin. Kemudian cikgu Saharum menerangkan pengertian warna dan lambang pada Jalur Gemilang. Guru pelatih UPSI dan Pelajar 2A1 juga turut mengambil bahagian dalam persembahan sajak dan koir.
Tahun ini, genaplah 51 tahun kita mencapai kemerdekaan. Marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah s.w.t. atas segala nikmat yang Allah telah anugerahkan kepada kita dengan memperbanyakkan amalan soleh dan melakukan ibadah dengan tulus ikhlas kepadaNya.
Kemerdekaan negara yang diraikan dengan agak meriah setiap tahun, menuntut kita agar merenung sejenak apakah yang telah kita kerjakan dalam mengisi kemerdekaan. Seterusnya, bagi memastikan pekerjaan yang kita lakukan bertepatan dengan tuntutan Islam, satu penelitian terhadap sirah perjuangan Rasulullah s.a.w perlu dilakukan. Dalam konteks ini, Sayyidina Umar Ibn al-Khattab r.a pernah berkata: “Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bilamana kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah”.
Baginda Rasulullah s.a.w adalah seorang tokoh agung perjuangan pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.
Sejarah membuktikan kepada kita bahawa di saat terutusnya Baginda, umat manusia telah terlalu jauh dari hidayah para rasul terdahulu. Mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu, sesat dalam mencari hala tuju kehidupan, serta jahil dalam memenuhi tuntutan kerohanian sehingga sanggup menyembah patung dan berhala yang mereka sendiri tahu tidak mampu mendatangkan apa-apa faedah mahupun mudarat. Golongan yang kuat bermaharajalela merebut kuasa, merampas takhta. Golongan bijak pandai meracun minda menyebarkan tahyul dan khurafat. Golongan yang lemah terus terjajah. Kejahilan terus mencengkam sehingga zaman mereka dikenali sebagai zaman jahiliah.
Hakikatnya, risalah suci Baginda adalah untuk memerdekakan masyarakat Arab dan manusia umumnya daripada segala bentuk penjajahan sama ada dari sudut fizikal, pemikiran mahupun rohani. Perjuangannya bermula di Mekah dan direalisasikan sepenuhnya dengan pembinaan Daulah Islamiah yang pertama di Madinah. Modul dan strategi perjuangan Baginda inilah yang perlu dihayati dan dijadikan panduan demi untuk membina sebuah negara merdeka yang berdaulat dan menjulang martabat bangsa. ( Sumber JAKIM )
HUBBUL WATON MINAL IMAN ( 01 )
| author: SURAU ANNUR SMK ALOR PONGSUPosts Relacionados:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment